TEORI BERKAITAN KERJA KUMPULAN (GROUPWORK)


Social Goal Model/ Model Matlamat Sosial

Berfokuskan untuk menyelesaikan masalah secara berterusan. Kebiasaannya, ia diaplikasikan di rumah-rumah penempatan, pusat perkhidmatan komuniti dan lembaga penduduk setempat. Prinsip asas- memberikan penjelasan berkaitan polisi agensi, mengambil kira kekangan-kekangan yang wujud dalam komuniti, penyelesaian berasaskan matlamat bersama agensi, serta tindakan yang akan diambil secara kolektif dan menyeluruh. Model ini juga mempertimbangkan kesan yang akan berlaku sebelum sesuatu tindakan diambil dan ia menekankan proses demokrasi dalam mengambil sesuatu alternatif penyelesaian. Contohnya, Dasar Wawasan Negara (2001-2010) yang mempunyai objektif seperti mencapai pertumbuhan mapan dan pengukuhan daya tahan ekonomi, mewujudkan masyarakat bersatu padu, menggabungkan teras kritikal dasar DEB dan DPN, juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020.

Remedial Goal Model/ Model Perawatan

Berasaskan kaedah yang bersifat klinikal. Perubahan sosial yang ingin dicapai memfokuskan kepada aspek interaksi antara kumpulan dalam usaha bersama untuk membuat perubahan. Ahli kumpulan yang terlibat akan saling menyokong dan menghargai pandangan serta permasalahan sesama ahli. Model ini paling popular dipraktikkan di hospital sakit mental, institusi pemulihan, perkhidmatan sokongan keluarga dan perkhidmatan kaunseling di sekolah.

Reciprocal Goal Model/ Model Timbal Balik

Fokus kepada hubungan timbal balik antara individu dengan masyarakat. Contohnya kumpulan anak-anak kecil yang terbiar di jalanan. Anak-anak kecil tersebut perlu dipandang serius dan diambil langkah bagi membela nasib dan memahami masalah dan keadaan mereka. Dua prinsip asas model ini ialah (1) seseorang individu itu boleh dipelajari, difahami dan dirawat berdasarkan hubungannya dengan persekitaran dan (2) seseorang individu boleh dibentuk, dipengaruhi dan diubah melalui hubungan mereka dengan institusi sosial atau hubungan timbal-balik kedua-duanya.


Rujukan:

(1) Samir Muhazzab Amin & Winny Abdul (2009). Pengantar Kerja Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

(2) Pillari, V., 2002. Social Work Practice. Boston: Allyn & Bacon.

(3) Ann Buchanan, (Volume I) ( 2008). Social Work, Major Themes in Health and Social Welfare . London And New York: Taylor And Francis Group.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments:

Post a Comment